Translate

Saturday, August 21, 2021

Kertas siasatan perhimpuan Ahli Parlimen siap

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Siasatan berhubung perhimpunan melibatkan sebahagian Ahli Parlimen di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 2 Ogos lalu telah disiapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, proses merekodkan keterangan kesemua Ahli Parlimen terlibat telah selesai baru-baru ini.

“Kertas siasatan berhubung kes tersebut telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Saya menjangkakan maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara berhubung kes berkenaan akan diketahui tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui selepas menziarah seorang pesara polis, Dali Dawi, 69, di Taman Permint Perdana, Seberang Takir di sini hari ini.

Kosmo! 4 Ogos lalu melaporkan PDRM menerima 206 laporan berhubung perhimpunan sebahagian ahli parlimen di Dataran Merdeka pada

Sehubungan itu, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 21a Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Acryl Sani berharap masyarakat negara ini agar kekal bertenang menunggu sebarang penyelesaian terhadap situasi politik semasa tanah air.

Ujar beliau, setakat ini, keadaan kekal aman dan tiada isu ketenteraman awam dikesan namun PDRM tetap bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment