Translate

Monday, August 16, 2021

Krisis air: Penduduk terima dua bulan air percuma

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 27,800 keluarga di daerah ini dan Kuala Nerus yang terjejas dengan gangguan bekalan air sejak 2 Ogos lalu tidak perlu membayar bil air selama dua bulan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian bil air percuma selama dua bulan tersebut sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri tentang kesulitan yang telah dialami penduduk terlibat sejak seminggu lalu.

“Kerajaan negeri Terengganu amat memahami kesulitan rakyat di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang sedang menghadapi krisis bekalan air disebabkan paip utama pecah di dasar Sungai Terengganu.

“Sebagai menghargai kesabaran penduduk terjejas, kerajaan negeri Terengganu bersetuju untuk memberikan bekalan air percuma kepada mereka selama dua bulan sebaik kerja-kerja baik pulih selesai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri memberitahu, Syarikat Air Terengganu (Satu) sedang bekerja keras membaiki kerosakan pada paip utama di dasar sungai berkenaan.

Tambah beliau, kerja-kerja pembaikan tersebut disasar dapat diselesaikan mengikut jadual iaitu pada lusa.

“Saya mengambil kesempatan mengucapkan penghargaan kepada semua pihak termasuk syarikat bekalan air seluruh negara, agensi kerajaan dan swasta, badan bukan kerajaan dan sukarelawan yang banyak membantu meringankan beban rakyat terlibat sepanjang tempoh krisis ini,” katanya.

Kosmo! Khamis lalu melaporkan paip utama yang terletak di dalam dasar Sungai Terengganu pecah sehingga menyebabkan gangguan bekalan air di 56 lokaliti di daerah ini dan Kuala Nerus. – K! ONLINE.

No comments:

Post a Comment