Translate

Monday, August 2, 2021

Suspek kes bunuh Wakaf Tapai direman lima hari

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Tempoh reman anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang menembak mati bekas Ketua MCA Bahagian Marang pada minggu lalu disambung lima hari lagi sehingga Rabu ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, perintah tambahan reman tersebut telah dibenarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

“Siasatan kes bunuh terbabit hampir selesai dan kertas siasatan akan dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya pada masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Sebelum ini, Majistret Engku Nurul Ain telah membenarkan suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada Sabtu lalu.

Kosmo! 24 Julai lalu melaporkan suspek mengamuk dengan melepaskan dua tembakan menggunakan senapang patah milik Rela terhadap Fong Swee Fuan, 65, dan Teo Beng Hock, 45, di Pondok Kawasan Rukun Tetangga (RT) Taman Jaya, Wakaf Tapai.

Suspek berusia 57 tahun cuba melarikan diri dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda sebelum berjaya ditahan sepasukan polis bersama selaras senapang patah digunakan dan beberapa butir peluru di Durian Mentagau, Dungun kira-kira dua jam setengah kemudian.

Swee Huan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada, manakala anak saudaranya, Beng Hock pula cedera parah dan kini masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment