Translate

Monday, August 30, 2021

Krisis air Terengganu dijangka berlarutan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Krisis air terbaharu yang kembali melanda sebahagian daerah ini dan Kuala Nerus melibatkan kira-kira 150,000 penduduk mulai semalam dijangka akan berlanjutan sehingga 12 September depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr. Mamad Puteh berkata, berdasarkan penilaian awal, kerja-kerja pembaikan paip pecah terbabit memerlukan 20 hari untuk disiapkan.

“Kerja-kerja pemeriksaan yang dilakukan enam penyelam semalam mendapati masalah gangguan bekalan air kali ini disebabkan kerosakan dua batang paip pada jajaran penyaluran bekalan air yang terletak di dasar Sungai Terengganu.

“Kedua-dua batang paip itu terletak kira-kira 24 meter dari lokasi paip pecah yang berjaya diselesaikan 12 Ogos lalu,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Syarikat Air Terengganu (Satu) di sini hari ini.

Mamad berkata, siasatan awal mendapati kerosakan itu disebabkan kejadian luar jangka sewaktu kerja-kerja pasca pembaikan paip utama tersebut.

Beliau berkata, selain mencari kaedah terbaik untuk membaiki kerosakan paip tersebut, Satu juga fokus untuk mencepatkan pengaktifan Loji Bukit Berapit yang dapat menyalurkan 60 juta meter padu sehari pada pertengahan bulan hadapan.

Kosmo! semalam melaporkan krisis air kembali melanda daerah ini dan Kuala Nerus selepas ia baharu sahaja pulih pada 13 Ogos lalu. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment