Translate

Monday, August 30, 2021

Misi vaksinasi penduduk, pengusaha pelancongan di pulau-pulau Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

TERENGGANU yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia sememangnya terkenal dengan keindahan alam semula jadi termasuk rangkaian pulau peranginannya. 

Pulau Perhentian di Besut, Pulau Lang Tengah, Setiu Pulau Redang, Kuala Nerus serta Pulau Kapas dan Pulau Tenggol di Marang sentiasa menggamit kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa

Begitupun, penularan pandemikCovid-19 sejak awal tahun lalu menyebabkan kelima-lima pulau peranginan yang terletak di perairan Laut China Selatan tersebut sunyi sepi ekoran penutupan sektor pelancongan. 

Bahkan, dua daripadanya iaitu Pulau Perhentian dan Pulau Redang yang mempunyai penghuni terdiri daripada penduduk asal secara tidak langsung turut terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata, kesuraman di rangkaian pulau peranginan di negeri itu tidak boleh dibiarkan berlarutan begitu lama.

Ujar beliau, majoriti penduduk tempatan yang bergiat dalam sektor pelancongan iaitu sektor kedua terbesar kepada ekonomi Terengganu semakin terdesak ekoran periuk nasi mereka.

"Langkah awal bagi memulihkan semula sektor pelancongan di pulau pulau peranginan tersebut ialah memastikan kesemua penduduk dan penggiat pelancongan terlibat mencapai imuniti kelompok seberapa segera," katanya kepada K2 baru-baru ini.

Fadli Yusof berkata, program vaksinasi Covid-19 di rangkaian pulau peranginan itu bagaimanapun berdepan cabaran logistik, kos dan faktor alam.

Jelas beliau, bekalan vaksin Covid-19perlu dihantar menerusi jalan laut dan diselesaikan sebelum ketibaan musim tengkujuh pada penghujung tahun, jika tidak, ia terpaksa ditunda ke tahun depan, sekali gus mengganggu kelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Monsun Timur Laut akan menyebabkan laut bergelora dengan ombak setinggi empat meter selain kemungkinan hujan lebat seharian. Proses vaksinasi di lima pulau peranginan itu perlu diselesaikan sebelum Oktober.

"Oleh kerana pembinaan pusat pemberian vaksin (PPV) secara kekal di setiap pulau peranginan terbabit tidak praktikal ekoran faktor kos dan logistik, kita mencadangkan proses vaksinasi dilaksanakan menerusi program outreach atau jangkauan," ujarnya.

Fadli Yusof memberitahu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu diamanahkan untuk melaksanakan program Outreach Vaksinasi Sektor Pelancongan terbabit yang menyasarkan 5000 penggiat pelancongan dan penduduk di Pulau Perhentian, Pulau Redang Pulau Kapas dan Tasik Kenyir.

Tambah beliau, misi tersebut mendapat kerjasama erat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pejabat tanah dan daerah, Polis Diraja Malaysia PERMI, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) lain.

"Kita juga berdepan cabaran lain apabila vaksin satu dos, Cansino yang dicadangkan untuk penduduk pulau berkenaan pula lewat tiba.

"Penyelesaiannya vaksin jenis Pfizer digunakan atas faktor keberadaan bekalan Walaupun perlu melakukan dua dos, janji ia dapat diselesaikan sebelum musim tengkujuh," katanya.

Fadli Yusof berkata, program outreach vaksinasi berkenaan memberi manfaat pelancongan dan penduduk di Pulau Kapas, Pulau Redang, Pulau Perhentian selain Tasik Kenyir di Hulu Terengganu.

Beliau berkata, program Outreach Vaksinasi Sektor Pelancongan ini bermula di Pulau Kapas pada 15 Julai lalu dan dijangka selesai sepenuhnya pada hujung bulan ini.

"Kejayaan program outreach vaksinasi itu membolehkan semua pihak berkepentingan di pulau peranginan terbabit mencapai imuniti kelompok bagi membolehkan pembukaan semula sektor pelancongan pada awal bulan depan seperti disasarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya," jelasnya.

Sementara itu, pengusaha resort, Lim You Jing, 37, berkata, program outreach vaksinasi kelolaan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu sememangnya sudah lama dinantikan penggiat pelancongan di Pulau Redang.

"Kami amat terdesak untuk beroperasi semula dan sudah tidak mampu bertahan lagi, namun pada masa sama timbul kerisauan dengan penularan Covid-19

"Satu kes positif sahaja sudah cukup untuk menghancurkan perniagaan kami yang sudah pasti sukar bangkit buat jangka masa lama. Sehubungan itu, imuniti kelompok dan penerimaan tetamu yang sudah lengkap dua dos vaksin adalah penyelesaian paling ideal, katanya yang mengusahakan Redang Bay Resort.

Seorang penduduk di Pulau Perhentian, Siti Kartini A. Ghani, 49, pula berkata, kehadiran bot KKM yang membawa hampir 1,000 dos vaksin Covid-19 mudik ke Jeti Pulau Perhentian Kecil pada 5 Ogos lalu telah memberi sinar harapan kepada mereka.

Peniaga kuih-muih di Medan Selera Kampung Perhentian Kecil itu berkata, penduduk kampung amat berharap sektor pelancongan dapat dibuka seberapa negera memandangkan 90 peratus daripada mereka terlibat dalam sektor pelancongan.

"Saya sendiri amat bergantung kepada kehadiran pelancong. Dahulu, saya boleh menjual pelbagai jenis kuih yang diperbuat daripada 25 kilogram (kg) tepung gandum pada setiap pagi tetapi kiri 6kg pun tidak habis.

"Setakat ini, tiga barangan kemas sudah saya gadai demi kelangsungan hidup. "Pendapatan suami saya yang sebelum ini menawarkan perkhidmatan bot laju ke Pulau Perhentian dari Jeti Kuala Besut juga terjejas teruk akibat pandemik ini." katanya.

Seorang kapten bot mewah warga Brazil, Watson Da Silva, 62, menni usaha kerajaan yang bekerja keras memastikan program vaksinasi Covid-19 di negara ini berjalan lancar dan antara yang terpantas di dunia.

Beliau yang berkhidmat di sebuah resort di Pulau Redang memberitahu, 12 kru bot mewahnya yang terdiri daripada warga pelbagai negara turut menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada program outreach vaksinasi di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang pada akhir bulan lalu

"Terima kasih kerajaan Malaysia kerana memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada semua termasuk pekerja asing seperti saya dan kru.

"Proses vaksinasi yang bermula dengan pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera sangat teratur dan berjalan lancar," katanya.

No comments:

Post a Comment