Translate

Friday, August 20, 2021

Penghantar makanan OKU maut kemalangan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Seorang remaja lelaki orang kelainan upaya (OKU) kategori pekak dan bisu yang bekerja sebagai penghantar makanan maut dalam kemalangan di Jalan Tengku Mizan berhampiran Kampung Tebauk di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 12.05 tengah hari tersebut, mangsa, Nik Muhammad Haikal Nik Zulkifli, 18, yang berasal dari Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Sewaktu kejadian, Nik Muhammad Haikal dipercayai dalam perjalanan ke pusat bandar raya selepas menghantar pesanan di Batu Enam di sini.

Sebaik tiba di lokasi kejadian yang merupakan laluan berselekoh, motosikal Yamaha NVX V2 155 dinaiki mangsa dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas lalu melanggar sebatang pokok terdapat di pembahagi jalan.

Nik Muhammad Haikal seterusnya tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta Perodua Kancil dipandu seorang lelaki berusia 30-an yang gagal mengelak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din yang dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, mayat Nik Muhamad Haikal telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Zahirah, Kuala Terengganu untuk dibedah siasat. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment