Translate

Sunday, August 29, 2021

Tukang gunting maut kemalangan

Oleh MOHD AZLI ADLAN

 KUALA TERENGGANU – Seorang tukang gunting yang sedang menanti kelahiran anak sulung maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Kota Bahru berhampiran Kampung Kubang Jela di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 8.15 malam itu, mangsa, Khairino Fahmie Khairul Anuar Bashah, 25, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Sewaktu kejadian, Khairino Fahmie dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Teluk Menara di sini selepas selesai bekerja di kedai gunting rambut di Seberang Takir, Kuala Nerus.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Honda Spacy yang ditunggangi mangsa dari arah Batu Enam, Kuala Nerus dikatakan bergesel dengan sebuah motosikal dinaiki seorang remaja lelaki berusia 19 tahun.

Difahamkan remaja itu yang menetap di Kampung Kubang Jela di sini mahu melintas jalan untuk membuang sampah di kawasan tong sampah awam yang terletak kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian.

Impak kemalangan itu menyebabkan Khairino Fahmie tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah motosikal Benelli RFS dinaiki seorang lelaki berusia 20-an.

Khairino Fahmie meninggal di lokasi kejadian manakala dua lagi mangsa pula cuma cedera ringan.

Mayat Khairino Fahmie telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din yang dihubungi mengesahkan kejadian. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment