Translate

Tuesday, August 31, 2021

APMM patah cubaan seludup rokok guna jalan laut

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Cubaan sebuah sindiket cuba menyeludup masuk 330,000 batang rokok bernilai kira-kira RM350,000 menggunakan jalan laut gagal apabila berjaya dipatahkan Maritim Malaysia (APMM) kelmarin.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, pemeriksaan bot peronda APMM menjumpai 33 kotak yang mengandungi rokok seludup berkenaan pada pukul 6 petang di Pulau Karah, Kuala Nerus.

“Kotak yang mengandungi rokok seludup itu dikesan telah dilonggokkan di kawasan belukar berhampiran pantai pulau berkenaan.

“Pulau Karah yang tidak berpenghuni terletak kira-kira 1.5 batu nautika dari Pulau Bidong, Kuala Nerus dipercayai cuba dijadikan transit sebelum rokok seludup tersebut mahu dibawa masuk ke daratan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, sewaktu serbuan dilakukan, tiada bot mahu pun individu disyaki anggota sindiket ditemui di pulau berkenaan.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati bekalan rokok seludup tersebut dibawa masuk dari negara jiran.

“Cubaan menyeludup rokok menggunakan jalan laut ini pertama kali dikesan di Terengganu dan ketiga di Pantai Timur sepanjang tahun ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment