MARANG – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa selama sejam 10 minit menziarah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebentar tadi.
Beliau yang mempunyai lawatan kerja di Terengganu semalam tiba di kediaman Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang di Rusila pada pukul 5 petang.
Kehadiran Muhyiddin disambut anak lelaki Abdul Hadi, Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok.
Terdahulu sewaktu ditemui ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu, Muhyiddin memberitahu pertemuan tersebut bertujuan untuk menziarah Abdul Hadi yang kini sedang berehat setelah menerima rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.
“Saya diberitahu Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar), Tok Guru Haji Hadi sudah bertambah sihat. Lama tidak jumpa beliau, kali terakhir semasa di hospital (IJN).
“Mudah-mudahan beliau bertambah sihat dan kembali bekerja untuk parti dan negara,” katanya di sini hari ini.
Muhyiddin menjelaskan pertemuan dengan Abdul Hadi sekadar kunjungan biasa rakan politik.
Terdahulu, wujud dakwaan pertemuan kedua-dua pemimpin itu susulan Mesyuarat Khas melibatkan kepemimpinan Perikatan Nasional (PN) di Putrajaya semalam. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment