Translate

Monday, August 2, 2021

Terengganu cadang buka PPV khas sektor pelancongan

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Jabatan Perlancongan Negeri Terengganu berhasrat untuk membuka pusat pemberian vaksin (PPV) sektor pelancongan.

Pengarah Pelancongan Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata, PPV khas terbabit akan memberi fokus kepada pemain industri pelancongan dalam kalangan kakitangan hotel dan resort di negeri tersebut.

Beliau berkata, pembukaan PPV khas tersebut merupakan insiatif mempercepatkan imuniti berkelompok dalam kalangan pemain industri pelancongan Terengganu.

“Buat masa ini, kita memberi tumpuan kepada 5,000 penggiat industri pelancongan yang terdapat di kawasan kepulauan seperti Pulau Kapas, Pulau Redang dan Pulau Perhentian yang dijangka selesai sepenuhnya pada akhir bulan depan menerusi program outreach vaksinasi.

“Begitupun hasrat untuk membentuk gelombong pelancongan di Terengganu seawal bulan September depan mungkin berdepan cabaran kerana masih ramai pemain industri dalam kalangan kakitangan hotel dan resort di tanah besar (daratan) masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui ketika memantau program Outreach Vaksinasi Pulau Redang yang melibatkan 1,270 orang termasuk 517 pengusaha dan pekerja resort di pulau peranginan terkenal tersebut.

Fazli Yusof berkata, cadangan pembukaan PPV sektor pelancongan tersebut telah dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini.

Beliau berkata, PPV khas yang memberi tumpuan kakitangan di 637 hotel dan resort yang terdapat di Terengganu dicadang bakal dibuka di salah sebuah hotel di Kuala Terengganu. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment