Translate

Sunday, August 15, 2021

Pemulihan bekalan air ditunda Sabtu ini

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 28,700 keluarga di daerah ini dan Kuala Nerus yang terjejas sejak sembilan hari lalu perlu bersabar empat hari lagi menunggu bekalan air pulih sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Teknologi, Dr. Mamad Puteh berkata, kerja-kerja baik pulih paip utama di dasar Sungai Terengganu yang sepatutnya siap sepenuhnya semalam terpaksa dilanjutkan sehingga Sabtu ini.

Beliau berkata, kontraktor dilantik Syarikat Air Terengganu (Satu) mengalami kesukaran untuk menyelesaikan baki kerja-kerja pembaikan yang masih tinggal berikutan arus deras dan kekeruhan luar jangka.

“Halangan tersebut menjejaskan penglihatan anggota pasukan teknikal yang sedang sedaya upaya membaiki kerosakan.

“Sehubungan itu, saya mewakili kerajaan negeri Terenggganu memohon maaf kepada semua pengguna yang terjejas dengan masalah gangguan air terburuk (di Terengganu) ini,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Satu di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah Satu, Burhanuddin Helmi Mohamed @ Harun.

Mamad berkata, penduduk di kedua-dua daerah terlibat dijangka mula menerima bekalan air semula secara berperingkat pada pukul 12 tengah malam, 14 Ogos ini.

Kosmo! Khamis lalu melaporkan paip utama yang terletak di dalam dasar Sungai Terengganu pecah sehingga menyebabkan gangguan bekalan air di 56 lokaliti di daerah ini dan Kuala Nerus.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar kemudiannya mengumumkan pemberian air percuma kepada 28,700 pengguna terlibat selama dua bulan setelah kerja-kerja pembaikan selesai. – K! ONLINE

 

No comments:

Post a Comment