Translate

Monday, August 30, 2021

Empat lelaki didakwa edar dadah

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Empat lelaki yang terlibat dalam parti liar pada dua minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine.

Tiada pengakuan direkodkan dan kesemua tertuduh iaitu Esmatul Faizatul Iskandar, 23; Muhammad Khairul Anwar Ismail, 22; Muhammad Harraz Izzat Mat Bedin, 23 dan Muhammad Taufiq Mat Suki, 20, sekadar mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd. Aziz.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 50 gram di sebuah inap desa di Taman Pinggiran Airport, Kuala Nerus pada pukul 12.15 tengah malam, 12 Ogos lalu.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Hukuman sebatan minimum 15 kali juga boleh dikenakan terhadap Esmatul Faizatul; Muhammad Khairul; Muhammad Harraz Izzat dan Muhammad Taufiq sekiranya hukuman mati tidak dijatuhkan terhadap mereka jika sabit kesalahan.

Kosmo! 12 Ogos lalu melaporkan aktiviti nakal 17 remaja termasuk empat perempuan berparti liar di sebuah inap desa terbantut apabila premis tersebut diserbu polis.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 16 hingga 25 tahun dipercayai berada dalam keadaan khayal di bawah pengaruh dadah sehingga tidak sedar kehadiran pasukan polis. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment