Translate

Saturday, August 21, 2021

Terengganu bakal beralih fasa tiga PPN bulan depan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Terengganu dijangka beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh kurang dua minggu lagi.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini, kadar vaksinasi lengkap dua dos dalam kalangan penduduk negeri tersebut sudah mencapai 35 peratus.

Tambah beliau, sebanyak 60 peratus rakyat Terengganu pula sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

“InsyaAllah jika bekalan vaksin tiba mengikut jadual Terengganu akan beralih ke fasa tiga PPN dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.

“Indikator lain yang disyaratkan untuk beralih ke fasa tiga PPN seperti bilangan katil pesakit (kritikal Covid-19) berada dalam unit rawatan rapi (ICU) pula dalam keadaan terkawal,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ke-64 peringkat Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Samsuri mengharapkan agar rakyat Terengganu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu ditetapkan.

Beliau menasihatkan agar masyarakat menjaga diri dan keluarga masing-masing agar kluster baharu tidak terbentuk sekali gus boleh menyukarkan usaha negeri ini keluar daripada pandemik Covid-19. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment