Translate

Sunday, August 15, 2021

Gangguan bekalan air Kuala Terengganu, Kuala Nerus pulih

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kerja-kerja pembaikan paip utama di dasar Sungai Terengganu yang menyebabkan gangguan bekalan air kronik di daerah ini dan Kuala Nerus sejak 2 Ogos lalu akhirnya berjaya diselesaikan hari ini.

Sehubungan itu, bekalan air mulai pulih secara berperingkat yang sudah pastinya melegakan 27,800 isi rumah terlibat yang terjejas sejak 12 hari lalu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerja-kerja pembaikan paip utama tersebut telah berjaya disiapkan sehari lebih awal daripada jadual asal iaitu esok.

“Pengisian di tangki air utama sudah dilakukan pada awal pagi tadi dengan kawasan perumahan berhampiran sudah mula menerima bekalan air secara berperingkat mulai pukul 12 tengah hari.

“Bekalan air di semua kawasan terlibat dijangka pulih sepenuhnya pada esok,” katanya ketika memantau pengisian air di Tangki Bukit Berangan di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk menyiasat punca sebenar kebocoran paip utama di dasar Sungai Terengganu yang telah mencetuskan krisis air terburuk Terengganu tersebut.

Kosmo! 5 Ogos lalu melaporkan paip utama yang terletak di dalam dasar Sungai Terengganu pecah sehingga menyebabkan gangguan bekalan air di 56 lokaliti di daerah ini dan Kuala Terengganu. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment