Translate

Monday, August 16, 2021

Kefahaman peraturan ‘dine-in’ premis makanan masih kurang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu mengesan beberapa kesalahan disebabkan kurang kefahaman dalam kalangan pengusaha premis makanan dan pelanggan berhubung kebenaran ‘dine-in’ terhadap individu lengkap dua dos vaksinasi yang mula dilaksanakan semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, antara kesalahan yang dikesan ialah lebih dua pelanggan makan semeja dan premis membenarkan ‘dine-in’ sedangkan pekerjanya masih belum menerima vaksin Covid-19.

“Begitupun dalam tempoh tiga hari pertama ini, tiada kompaun kesalahan akan dikeluarkan memandangkan peraturan ini masih baharu.

“Sebaliknya tumpuan buat masa ini diberikan untuk memberi nasihat dan kefahaman kepada orang awam berhubung peraturan ini,” katanya.

Terdahulu beliau ditemui selepas memantau restoran dan medan selera di pusat membeli-belah, Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di sini hari ini.

Rohaimi berkata, berdasarkan pemantauan polis, setakat ini, tidak ramai pelanggan lengkap dua dos vaksin Covid-19 di Terengganu memanfaatkan kemudahan ‘dine-in’ di premis makananan sebaliknya lebih selesa memilih membungkus makanan.

Beliau percaya ia disebabkan ramai mengambil pendekatan berhati-hati berikutan kes positif Covid-19 yang masih tinggi selain banyak lagi restoran dan kedai makan dilihat yang masih enggan membenarkan ‘dine-in’. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment