Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA NERUS – Peraturan lengkap dua dos untuk solat berjemaah ke masjid telah membuka hati seorang lelaki warga emas berusia 101 tahun untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19.
Che Ismail Che Tahir yang menetap di Kampung Gong Kijang, Bukit Tunggal di sini menerima dos pertama vaksin tersebut di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.
Cucunya, Mohd. Jailani Harun, 52, berkata, pada mulanya, sukar untuk dia dan ahli keluarganya memujuk Che Ismail tentang kepentingan mengambil vaksin Covid-19.
“Selain masalah kurang pendengaran yang membataskan komunikasi kami dengan Tok Ki (Che Ismail), dia juga merasakan tidak perlu divaksin kerana sudah lanjut usia.
“Begitupun, pendiriannya bertukar selepas tidak boleh bersolat jemaah di masjid mulai 10 Ogos lalu sejak pelaksanaan peraturan baharu cuma membenarkan individu lengkap dua dos vaksin ,” katanya ketika menemani datuknya di PPV UniSZA di sini hari ini.
Che Ismail merupakan antara 1,500 warga emas, orang kelainan upaya (OKU), mempunyai penyakit berisiko dan hamil di daerah ini yang hadir untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV UniSZA semalam setelah tercicir janji temu masing-masing sebelum ini.
Mohd. Jailani berkata, sebelum ini, Che Ismail yang masih sihat gembira melakukan rutin bersolat berjemaah setelah ibadah itu dibenarkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu mengikut kapasiti masjid dan surau sejak 8 Julai lalu. -K! ONLINE
No comments:
Post a Comment