Translate

Monday, August 2, 2021

OKU terharu terima suntikan vaksin Covid-19 di rumah

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Seorang lelaki warga emas yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) terharu dengan dedikasi petugas kesihatan bersusah payah mengunjungi rumahnya hari ini di Kampung Baru Pulau Redang dekat sini bagi memberikan suntikan vaksin Covid-19.

Mat Soh Mat San, 62, yang kudung kaki kanan akibat komplikasi kemalangan jalan raya pada awal tahun ini sepatutnya menerima dos pertama vaksin Covid-19 tersebut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada bulan lalu.

“Janji temu itu tiba sehari selepas saya ke hospital sama untuk menghadiri susulan pemeriksaan kesihatan.

“Saya yang kepenatan tidak larat untuk menempuh lagi perjalanan panjang menaiki bot dan kenderaan dari Pulau Redang untuk memenuhi janji temu vaksin Covid-19 berkenaan pada keesokan harinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Pulau Redang dekat sini hari ini.

Lelaki warga emas berkenaan merupakan antara 10 individu OKU dan uzur di Pulau Redang yang dikunjungi petugas kesihatan bagi program outreach vaksinasi sektor pelancongan yang berlangsung selama dua hari sehingga semalam.

Mat Soh berkata, dia yang tidak mempunyai saudara-mara di daratan sama ada Kuala Terengganu dan Kuala Nerus untuk menumpang bermalam mengakui sangat terkilan kerana tidak dapat memenuhi janji temu berkenaan sekali gus kehilangan peluang untuk menerima dos pertama vaksin Covid-19.

Begitupun, dia kembali ceria apabila dimaklumkan suntikan vaksin Covid-19 tersebut akan diterima di rumahnya sendiri hari ini. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment