Translate

Tuesday, August 17, 2021

Dua pemungut telur penyu bunuh rakan dihukum gantung

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU – Dua pemungut telur penyu dihukum mati mandatori di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh rakan mereka yang cuba meleraikan pergaduhan dipercayai bermotifkan perebutan kawasan penyu mendarat pada lima tahun lalu.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab. Aziz memerintahkan kedua-dua tertuduh, Faizol Aznan Muhamad, 40, dan Mohd. Riduan Ismail 32, menjalani hukuman demikian bagi kesalahan membunuh, Razak Abdullah, 45.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa membunuh Razak di tepi Pantai Geliga berhadapan Sekolah Rendah Sri Geliga, Chukai pada pukul 7 pagi, 3 Jun 2016.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mengikut fakta kes, Faizol Aznan telah bertengkar dengan seorang pemungut telur penyu lain dikenali sebagai Mohd. Sahrol Afsam berhubung pembahagian kawasan penyu bertelur di pantai berkenaan.

Razak yang juga pemungut telur penyu cuba meleraikan pertengkaran tersebut namun tertuduh pertama naik berang lalu memukul muka mangsa dengan sebatang kayu.

Faizol Aznan terus memukul kepala mangsa bertubi-tubi sebelum tertuduh kedua, Mohd. Riduan tiba-tiba masuk campur dengan turut menghentak muka Razak dengan sebuah topi keledar berwarna merah.

Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala Faizol Aznan dan Mohd. Riduan pula diwakili peguam Ghazali Ismail dan Masliela Ismail. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment