Oleh MOHD AZLI ADLAN
BESUT – Sektor pelancongan Terengganu terutama di pulau-pulau peranginan di negeri ini dijangka akan mula dibuka pada awal bulan depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, negeri tersebut dijangka berupaya beralih ke fasa tiga daripada dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada penghujung bulan ini.
Beliau berkata, peralihan fasa ketiga PPN tersebut penting kerana ia membenarkan aktiviti rentas daerah sekali gus diharapkan dapat merancakkan semula pelancongan domestik.
“Bilangan penduduk Terengganu yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 di Terengganu kini 27 peratus dan kita jangka mampu mencapai sasaran 40 peratus menjelang hujung bulan ini.
“Selain itu, kita juga percaya boleh melepasi indikator lain yang ditetapkan untuk beralih ke fasa tiga (PPN) tidak lama lagi,” katanya ketika memantau program Outreach Vaksinasi di Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian, Kuala Besut di sini hari ini.
Ariffin berkata, kesemua empat pulau peranginan di Terengganu iaitu Pulau Perhentian, Redang, Kapas dan Tenggol juga akan mencapai imuniti kelompok pada akhir bulan ini.
Jelas beliau, setakat ini, kesemua penduduk dan pemain industri pelancongan di pulau-pulau peranginan tersebut telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 termasuk Pulau Perhentian hari ini. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment