Translate

Monday, August 9, 2021

Kit ujian kendiri Covid-19 jadi barangan kawalan

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Kit ujian kendiri Covid-19 akan dijadikan sebagai barangan kawalan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, inisiatif tersebut bagi memastikan kit ujian kendiri Covid-19 dijual pada harga berpatutan dan mampu dibeli pengguna.

“Kita mendapat maklumat kit ujian kendiri Covid-19 itu dijual pada harga RM39.90 setiap satu.

“Ia dirasakan agak mahal dan kita risau ramai (pengguna) tidak mampu membelinya,” katanya ketika ditemui ketika memantau proses pemberian vaksin Covid-19 pada program Mobilisasi Vaksin Komuniti di Felda Bukit Banding, Ajil di sini hari ini.

Rosol berkata, cadangan untuk menjadikan kit ujian kendiri Covid-19 sebagai salah satu barangan kawalan juga bertujuan bagi membendung tindakan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan dengan menjual produk tiruan.

Sehubungan itu, beliau berkata, KPDNHEP akan mengadakan pertemuan dengan pihak pengimport, pengilang dan peruncit pada masa terdekat.

Kosmo! 23 Julai lalu melaporkan Kementerian Kesihatan memperakui tiga jenama kit ujian kendiri Covid-19 iaitu keluaran Reszon Diagnostics International Sdn. Bhd., Citymedic Sdn. Bhd. dan Medinics (Malaysia) Sdn. Bhd. untuk pasaran tempatan. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment