Translate

Sunday, August 1, 2021

Majlis sosial Aidiladha punca lonjakan kes Covid-19 Terengganu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Peningkatan mendadak luar jangka kes harian Covid-19 di Terengganu sejak akhir-akhir ini disebabkan kedegilan masyarakat yang masih melakukan aktiviti sosial tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu pada sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebanyak 883 kes harian baharu semalam merupakan tertinggi pernah dicatatkan di negeri itu sejak penularan wabak Covid-19 pada awal tahun lalu.

Beliau turut menjangkakan lonjakan lebih banyak kes positif Covid-19 di Terengganu dalam tempoh dua minggu hadapan berdasarkan unjuran Kementerian Kesihatan (KKM).

“Segelintir masyarakat dikesan masih melakukan aktiviti rentas daerah dan negeri pada sambutan Hari Raya Aidiladha seterusnya mengadakan majlis (sosial) secara sembunyi-sembunyi walaupun tidak dibenarkan.

“Selain itu, penularan pantas Covid-19 dalam kalangan komuniti di negeri ini turut disumbang oleh kemasukan pekerja kontrak warga asing yang tidak disaring,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Samsuri juga tidak menolak ujian saringan secara besar-besaran secara bersasar terhadap kontak rapat di beberapa lokaliti turut menyumbang kepada peningkatan kes aktif positif Covid-19 di Terengganu. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment