Translate

Saturday, July 31, 2021

Durian lingai rasa premium tapi murah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Durian lingai yang memiliki rasa tersendiri mula menjadi pilihan peminat raja buah di Terengganu.

Salah seorang pengusahanya, Mamat Yahya, 64, berkata, walaupun ia merupakan durian kampung, ramai penggemarnya mengakui berpuas hati kerana mempunyai rasa yang premium.

“Isi durian lingai berwarna kuning dan lemak serta berkrim. Mungkin pokoknya yang dita­nam di kawasan berbukit yang berbatu telah mempengaruhi rasanya.

“Oleh kerana jenis durian kampung, harganya berpatutan terutama sewaktu lambakan durian di Terengganu pada masa ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di dusunnya di Kampung Lingai, Batu Rakit di sini semalam.

Mamat berkata, pada awal musim durian baru-baru ini, durian lingai dijual pada harga RM10 sekilogram, namun sejak akhir minggu lalu harganya jatuh kepada RM50 hingga RM100 selonggok yang mengandungi purata 10 biji.


Jelasnya, setiap hari dia akan menjelajah dusunnya seluas kira-kira 10.1 hektar untuk mengutip durian bermula pukul 7 pagi hingga 4 petang.

“Biasanya saya akan membawa turun durian yang dikutip dengan cara mengikatnya pada kayu sebelum memikulnya sambil menunggang motosikal,” ujarnya.

Bercerita lanjut Mamat berkata, purata sehari sebanyak 80 biji durian gugur dan dia mula me­ngusahakan dusun durian sejak tahun 1970-an.


Bagaimanapun katanya, anak pokok benih durian lingai mula ditanam kira-kira 12 tahun lalu.

Sementara itu, seorang peminat durian, Rohani Hasan, 39, pula berkata, dia secara peribadi lebih menggemari durian lingai berbanding jenis durian-durian ‘kayangan’ termasuk musang king dan duri hitam.

“Bagi saya, durian lingai ini, sudahlah dijual murah, rasanya pula premium seperti durian ‘kayangan,” kata Rohani.


No comments:

Post a Comment