Translate

Monday, July 31, 2017

Selangor terus menyengat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SELANGOR puas apabila berjaya menempah tiket lebih awal ke pusingan suku akhir kempen Piala Malaysia 2017 selepas melakar kemena­ngan dramatik menewaskan Terengganu pada aksi keempat kumpulan D malam kelmarin.

Pengendali Selangor, P. Maniam berkata, kejayaan meneruskan kemaraan dalam kejohanan yang dianggap paling berprestij di Malaysia itu wajar diraikan oleh barisan pemainnya serta penyokong tegar skuad The Red Giants.

“Kami juga mahu menghadiahkan kejayaan ini kepada Presiden FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor), Datuk Subahan Kamal.

“Beliau telah bekerja keras dan banyak berkorban untuk mengukuhkan FAS termasuk mencari dana,” kata Maniam ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, Selangor me­lakukan kebangkitan menakjubkan untuk mencatat kemenangan 3-2 biarpun ketinggalan satu gol pada separuh masa pertama.

Francis Forkey Doe, Muhammad Syahmi Safari dan Rufino Segovia del Burgo memastikan skuad Merah Kuning meraih tiga mata berharga selepas masing-masing meledak gol pada minit ke-51, 55 dan 90.

Terengganu pula memperoleh dua gol menerusi Ismail Faruqi Ashari dan Tchetche Kipre pada minit ke-23 dan 77.

Mengulas aksi yang mendebarkan itu, Maniam mengakui anak-anak buahnya tidak bermain dengan baik pada babak pertama sehingga memberi ruang kepada pasukan tuan rumah menguasai perlawanan.

“Mereka mula menunjukkan watak sebenar pada separuh masa kedua. Berdasarkan pada apa yang dipamerkan anak-anak buah saya pada babak kedua itu, kita memang layak untuk menang.

“Begitu pun, kita ada be­rita kurang baik kerana Rufino (Burgo) telah mengalami kecederaan harmstring tidak lama selepas menjaringkan gol kemenangan,” katanya.

Selangor kini mendahului Kumpulan D dengan 10 mata diikuti Johor Darul Ta’zim (7), Terengganu (3) dan Sarawak (1).

No comments:

Post a Comment