Translate

Tuesday, August 1, 2017

Pinjaman perumahan tanpa slip gaji

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Masalah yang dihadapi kebanyakan pemohon projek Rumah Bina Negara (RBN) bakal selesai selepas Bank Negara bersetuju membenarkan permohonan pinjaman perumahan tersebut dilakukan tanpa slip gaji.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini,  kelonggaran itu diberikan Bank Negara bagi permohonan RBN yang dibuat di Agrobank berkuatkuasa serta-merta.

“Sebelum ini, kebanyakan permohonan pinjaman perumahan RBN ditolak pihak bank kerana masalah ketiadaan slip gaji.

“Ini kerana kebanyakan pemohonnya terdiri daripada belia luar bandar yang bekerja kampung dan tiada berpendapatan tetap,” katanya selepas menghadiri majlis Mesra Rakyat dan sambutan Hari Raya Wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) di Padang Astaka Ketengah Jaya dekat sini semalam.

Majlis yang dimeriahkan dengan kehadiran lebih 10,000 penduduk setempat itu turut dihadiri Timbalan Penge­rusi KETENGAH, Datuk Din Adam dan Pengurus Besar KETENGAH, Omar Ismail.

Ismail Sabri berkata, pemohon projek RBN yang tidak mempunyai slip gaji itu kini boleh menghantar permohonan pinjaman perumahan kepada Agrobank dengan hanya mengemukakan penyata pendapatan.

Menurut beliau, penyata pendapatan tersebut perlu diperakui sama ada oleh wakil rak­yat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatan­kuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR).

“Setakat ini, KKLW telah menerima lebih 100 permohonan RBN yang akan dimajukan kepada Agrobank untuk kelulusan pada masa terdekat.

“Buat masa ini, kelonggaran permohonan pinjaman perumahan tanpa slip gaji ini hanya diberikan kepada RBN. Harap ia dapat diperluaskan kepada skim-skim perumahan lain yang dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau juga berharap bank tempatan lain turut dapat mengikut jejak Agrobank bagi menjayakan misi kerajaan membantu memudahkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.

RBN merupakan inisiatif KKLW bagi membantu belia luar bandar berusia bawah 40 tahun memiliki rumah sendiri.

Dua mekanisme pembangunan projek RBN tersebut iaitu 5,000 buah rumah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan 2,000 buah rumah pula dibangunkan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dengan peruntukan tahunan RM200 juta oleh kerajaan Pusat.

No comments:

Post a Comment