SKUAD Terengganu mahu mengekalkan momentum kemenangan dengan berazam menewaskan Perlis pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.
Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, kemenangan dalam pertemuan dengan skuad dari utara itu penting bagi memastikan pasukan kendaliannya terus berada di landasan betul untuk merebut kedudukan teratas liga bagi mencapai misi layak ke saingan Liga Super musim depan.
“Perebutan untuk menguasai takhta Liga Premier amat sengit. Kita terpaksa bersaing hebat dengan sekurang-kurangnya tiga pasukan iaitu Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan PKNP FC (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak).
“Apa yang penting bukan pencapaian pasukan pencabar lain yang menjadi ukuran tetapi kita tidak boleh terlepas sebarang mata sekiranya mahu terus berada dalam persaingan ini,” katanya.
Sementara itu, Irfan masih terus menaruh kepercayaan kepada penyerang import baharu, Tchetche Kipre biarpun penyerang kelahiran Ivory Coast itu masih buntu meledak gol sulung sejak menyertai skuad Penyu pada jendela perpindahan pemain Mei lalu.
“Jika mahu dibandingkan dengan Fedrico Falcone (penyerang import yang disingkirkan), Kipre lebih baik dan telah memberi sumbangan besar kepada pasukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment