Translate

Monday, July 24, 2017

Kesilapan sendiri bawa padah 
– Rahmad

KESILAPAN mudah yang dilakukan barisan pemain T-Team menjadi punca kekalahan teruk pasukan kepada skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super malam kelmarin.

Demikian akui ketua jurulatih, Rahmad Darmawan (gambar) ketika ditemui sebaik tamat perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu.

Kekalahan 1-6 itu bukan setakat mengecewakan para penyokong mereka, tetapi turut melakar sejarah hitam apabila kalah buat pertama kali dengan jumlah jaringan yang besar.

Begitupun, Rahmad kekal positif dan mahu T-Team memberi tumpuan kepada lima perlawanan akan datang.
 
“Kita telah membuat banyak kesilapan sehingga pasukan lawan menjaringkan tiga gol mudah pada separuh masa pertama dan ia amat mengejutkan.

Pada separuh masa kedua kita cuba memperbaiki kesilapan itu dan ia dilihat banyak membantu namun, ketika itu kami telah tertinggal tiga gol.  

Rahmad juga mengakui bahawa kejayaan JDT menguasai perlawanan tersebut berpunca daripada ketiadaan beberapa pemain tonggak T-Team termasuk Mamadou Samassa.
   
“Saya yakin kita masih mampu bangkit untuk memperoleh kemenangan selepas ini. Kita masih ada perlawanan dengan PKNS, Melaka United, Sarawak, Pulau Pinang dan Pahang,” katanya.
 
Pada perlawanan malam kelmarin, gol tunggal tuan rumah hadir menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain import Joseph Yannick Ndjeng pada minit ke-83.

Gol-gol pasukan pelawat pula disumbang oleh Gabriel Miguel Guerra pada minit ke-22 dan 58,  Mohamad Ghaddar (m-40), S. Kunanlan (m-43), Mohamad Fadhli Shas (m-77) serta Gonzalo Gabriel Cabrera (m-81).

No comments:

Post a Comment