Translate

Monday, July 3, 2017

Buruh disyaki dera anak tiri hingga maut ditahan reman selama seminggu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARUDIN HAMZAH

BESUT – Mahkamah Majistret di sini semalam membenarkan seorang buruh yang disyaki mendera anak lelaki tirinya yang berusia lima tahun sehingga meninggal dunia pada Rabu lalu ditahan reman selama seminggu sehingga Khamis depan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, perintah tahanan reman terbabit terhadap suspek yang berusia 38 tahun telah dikeluarkan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah pada kira-kira pukul 10 pagi.

“Perintah tahanan reman itu mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Terdahulu lelaki yang disyaki mendera Muhammad Hairil Amsyar Abdul Rahman, 5, hingga mati tiba di perkarangan mahkamah di sini pada pukul 9.15 pagi.

Dia tiba dengan berpakaian lokap berwarna oren dan kedua-dua tangannya bergari.

Kosmo! semalam melaporkan Muhammad Hairil Amsyar ditemui mati dengan beberapa kesan lebam baharu dan lama pada badan dipercayai didera bapa tirinya di Felda Tenang, Hulu Besut dekat sini Rabu lalu.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, suspek berusia 38 tahun pada mulanya mendakwa anak tirinya itu mengalami kecederaan tersebut akibat dihempap motosikal yang mereka naiki beberapa jam sebelum itu.

Bagaimanapun, pegawai perubatan Hospital Besut yang memeriksa mayat kanak-kanak malang itu mencurigai punca kematian mangsa sebelum membuat laporan polis.

Jenazah Muhammad Hairil Amsyar telah selamat dikebumikan selepas solat Asar kelmarin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tanah dekat sini.

No comments:

Post a Comment