Translate

Monday, July 31, 2017

Misi Terengganu makin sukar

KELEKAAN pada saat-saat akhir membuatkan Terengganu terpaksa menggigit jari apabila tewas 2-3 kepada Selangor pada aksi di laman sendiri kempen Piala Malaysia 2017 malam kelmarin.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, kekalahan tipis berkenaan sa­ngat mengecewakan kerana ia semakin menyempitkan peluang skuad Penyu untuk mara ke pe­ringkat suku akhir.

“Pengakhiran yang mengecewakan. Kesilapan dua pemain pertahanan saya, Adib Aizuddin Ab. Latif dan Mohd. Firdaus Mohd. Faudzi telah memberi kesan besar kepada pasukan.

“Mereka tidak berada di posisi masing-masing sewaktu kami sedang menyerang dan situasi tersebut menyebabkan pasukan lawan mudah memerangkap dengan serangan balas yang pantas,” kata Irfan ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Biarpun mendahului menerusi pemain tengah Ismail Faruqi Ashari pada minit ke-23, Selangor bangkit menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit masing-masing menerusi Francis Forkey Doe, Muhammad Syahmi Safari pada minit ke-51 dan 55.

Terengganu lega seketika menerusi ledakan penyerang import, Tchetche Kipre pada minit ke-77.

Begitupun, harapan tuan rumah untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata lebur apabila penyerang gantian Selangor, Rufino Segovia del Burgo muncul wira menjaringkan gol pemusnah pada masa kecederaan.

Irfan berkata, secara keseluruhannya, beliau masih berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang menguasai hampir ke­seluruhan permainan.

Apa pun, beliau berkata, Terengganu perlu mengakui hakikat peluang mereka untuk melepasi peringkat kumpulan semakin tipis de­ngan kekalahan terbaharu itu.

No comments:

Post a Comment