Translate

Wednesday, July 5, 2017

Remaja disyaki anggota sindiket pil kuda ditahan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kegiatan salah sebuah sindiket dadah dipercayai yang terbesar di bandar raya ini berjaya dibongkar polis dengan penahanan salah seorang anggota kumpulan itu semalam.

Remaja lelaki berusia 18 tahun tersebut diberkas bersama 2,200 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM22,000 dalam serbuan di sebuah rumah di di Kampung Batin, Seberang Takir, Kuala Nerus dekat sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, suspek yang disyaki berperanan sebagai pengedar dadah berkenaan telah diekori anggota polis bagi tujuan risikan sejak lebih dua bulan lalu.
"Sewaktu serbuan, suspek yang merupakan penganggur dan bersekolah setakat tingkatan empat itu sedang tidur di ruang tamu di premis berkenaan.
"Pemeriksaan kemudiannya telah menjumpai bungkusan mengandungi 2,200 biji pil kuda di dalam sebuah beg plastik yang diletakkan di tepi katil di dalam sebuah bilik tidur di premis berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment