Translate

Friday, July 7, 2017

Terengganu azam jinak JDT

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEJAYAAN mengikat naib juara Piala Malaysia, Selangor 1-1, Selasa lalu menjadi tonik tambahan buat Terengganu untuk menghadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi kedua Kumpulan D di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, rata-rata anak-anak buahnya teruja untuk berhadapan dengan JDT yang bukan sahaja pernah menjuarai Piala AFC, malah diwakili barisan bintang.

“Meskipun begitu, ia tidak bermakna kami terlalu menghormati JDT yang juga pendahulu Liga Super buat masa ini.

“Kami bukan sahaja tidak gentar, malah tekad mahu menumbangkan pasukan handalan itu, sekali gus mengutip tiga mata penuh di hadapan penyokong sendiri,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Irfan Bakti berkata, beliau percaya hasrat untuk menjinakkan JDT di laman sendiri bukan mustahil sekiranya semua kesebelasan utama skuadnya yang akan diturunkan malam ini dapat menunjukkan karakter sebenar masing-masing.

Bekas pengendali Felda United itu berkata, beliau juga telah menyediakan taktikal bersesuaian setelah membuat kajian mendalam tentang corak permainan pasukan lawan yang berasal dari selatan tanah air itu.

“Saya harap penyokong tegar Terengganu dapat turun beramai-ramai ke stadium malam esok (malam ini).

“Kehadiran mereka sebagai pemain ke-12 amat berharga menyemarakkan semangat pemain-pemain saya untuk mengharungi perlawanan penting ini,” katanya.

Pada aksi pertama Kumpulan D Piala Malaysia, Selasa lalu, Terengganu berjaya mengikat Selangor 1-1, manakala JDT membenam Sarawak 4-0.

No comments:

Post a Comment