Translate

Saturday, July 15, 2017

T-Team bakal kehilangan khidmat Samassa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PASUKAN berstatus kelab, T-Team bakal bertandang ke Stadium Tun Abdul Razak, Jengka menentang Felda United pada aksi Liga Super malam ini tanpa penyerang utama, Mahamadou Samassa yang terpaksa direhatkan akibat kecederaan.

Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan berkata, skuad kendaliannya juga boleh melupakan khidmat Samassa sehingga penghujung musim ini kerana kecederaan yang dialami pemain kelahiran Mali tersebut pada aksi bertemu Kelantan pada Selasa lalu disahkan serius.

“Pakar perubatan mengesahkan Samassa memerlukan tiga hingga lapan bulan untuk pulih sepenuhnya. Memang agak sukar tanpa dia, namun kita mempunyai beberapa pemain lain yang boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkannya sebagai penyerang utama.

“Apa penting, pemain-pemain perlu terus fokus untuk mengekalkan momentum kemenangan sewaktu menentang Felda United malam esok (ini),” kata Rahmad kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Rahmad berkata, beberapa perubahan taktikal telah dilakukan dalam tempoh dua hari sesi latihan ini bagi memantapkan lagi skuad kendaliannya untuk mengharungi baki tujuh aksi Liga Super musim ini.

Pengendali berpengalaman dari Indonesia tersebut berkata, beliau juga optimis anak-anak buahnya mampu mengubah kedudukan berbanding posisi ketujuh ketika ini.

“Saya nampak pemain-pemain sudah semakin bersemangat dan bermotivasi tinggi selepas menamatkan kemarau kemenangan hasil kejayaan menewaskan Kelantan pada Selasa lalu.

“Perkembangan ini amat positif kepada kelab dan saya juga mahu mereka mengurangkan lagi kesilapan mudah sewaktu beraksi di padang,” katanya.

No comments:

Post a Comment