Translate

Wednesday, July 19, 2017

Buruh didakwa bunuh anak tiri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh anak tirinya yang berumur lima tahun di Felda Tenang, Pasir Akar, Besut  pada akhir bulan lalu.

Rosmanan Abd. Rahman, 38, yang berpakaian lokap berwarna oren tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah.

Pendakwaan dikendalikan Tim­ba­lan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh Muhammad Hairil Amsyar Abdul Rahman di 218, Felda Tenang, Pasir Akar, Besut pada pukul 3.30 pagi pada 28 Jun 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tuan Ruzuaini  memerintahkan sebutan semula kes tersebut di Mahkamah Majistret Besut pada 16 Ogos depan.

Beberapa ahli keluarga Rosmanan termasuk  ibu bapanya hadir mendengar prosiding mahkamah namun kelibat isterinya, Nor Syafiqah Abd. Kadir, 27, tidak kelihatan.

Kosmo! pada 30 Jun lalu melaporkan Muhammad Hairil Amsyar ditemui mati dengan beberapa kesan lebam baharu dan lama pada badan dipercayai didera bapa tirinya.

Rosmanan pada mulanya mendakwa anak tirinya itu  mengalami kecederaan tersebut akibat dihempap motosikal yang mereka naiki beberapa jam sebelum itu.

Begitupun, pegawai perubatan Hospital Besut yang mencurigai punca kematian kanak-kanak terbabit selepas menjumpai beberapa kesan lebam baharu dan lama pada beberapa anggota badan mangsa telah membuat laporan polis.

No comments:

Post a Comment