Translate

Tuesday, July 18, 2017

T-Team harap tuah gelanggang sendiri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PASUKAN berstatus kelab, T-Team mengharapkan tuah di laman sendiri untuk menji­nakkan Pahang pada aksi peringkat Kumpulan A kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Ketua jurulatih T-Team, Rahmad Darma­wan berkata, beliau berharap kejayaan anak-anak buahnya menewaskan beberapa pasukan berprofil tinggi seperti Kedah, Selangor, Perak dan Kelantan di hadapan penyokong sendiri sepanjang musim ini dapat diulangi pada aksi berkenaan.

“Atas kertas, kedua-dua pasukan, baik T-Team mahupun Pahang amat memerlukan kemenangan bagi membaiki kedudukan dalam peringkat kumpulan Piala Malaysia.

“Begitupun, saya akui moral pemain Pahang lebih baik kerana mereka baru mencapai kemenangan dengan PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) pada aksi Liga Super pada Sabtu lalu,” kata Rahmad ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Sehubungan itu, Rahmad meminta anak-anak buahnya agar melupakan terus aksi buruk di­belasah Felda United 1-5 di Stadium Tun Razak, Jengka, Pahang dan fokus kepada perlawanan malam ini untuk menghidupkan cabaran dalam kempen Piala Malaysia.

Bekas pengendali skuad bawah 23 tahun Indonesia itu berkata, kelemahan ketara pemain-pemainnya iaitu melepaskan gol mudah menerusi serangan balas lawan pada perlawanan tersebut perlu diperbaiki segera.

“Saya ingatkan mereka agar sentiasa ber­disiplin dan fokus sepanjang 90 minit perlawanan agar tidak terperangkap lagi dengan serangan balas lawan.

“Jangan terlalu asyik menyerang untuk memburu gol penyamaan sehingga bolos lagi menerusi serangan balas. Itu yang berulang kali terjadi di Jengka,” katanya.

No comments:

Post a Comment