BERGELAR ibu tunggal kepada tujuh orang anak selepas kematian suami pada usia baru mencecah 30 tahun merupakan ujian terbesar buat seorang wanita bernama Beiah Muda.
Demi kelangsungan hidup dan membesarkan anak-anak yang masih kecil termasuk bongsu baru berusia setahun pada masa itu, dia nekad menjaja makanan dan kuih-muih dengan berbasikal bagi mencari rezeki di sekitar kawasan rumahnya.
Dua tahun kemudian pada tahun 2012, Beiah, 37, yang mempunyai pendidikan sehingga Sijil Pelajaran Malaysia diterima bekerja sebagai pekerja am di Pusat Giat Mara Batu Rakit.
Sambil menyapu di pekarangan kelas yang menjadi pekerjaaan hakikinya, wanita itu selalu mencuri dengar dan pandang pengajaran tenaga pengajar kelas memasak dan membuat kek di pusat Giat Mara terbabit.
Minatnya mula bercambah dan dia nekad untuk mengubah nasib diri dengan menjadi usahawan kek dan pastri.
Dengan galakan majikannya pada masa itu, Beiah memasuki kelas memasak dan membuat kek berkenaan yang melayakkannya memperolehi Sijil Profesional Membuat Kek dan Kuih-Muih.
Berbekalkan sijil itu, wanita tersebut mula mengusahakan perusahaan membuat roti paung dan kek secara kecil-kecilan berbekalkan modal pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) di rumahnya.
Selain pelanggan tetap dalam kalangan kenalan dan jiran sekampung, roti paung dan kek berkenaan juga telah dihantar di sekolah-sekolah dan balai polis sekitar Kuala Nerus dan bandar raya Kuala Terengganu.
Alhamdulillah, pada waktu itu, dengan modal kecil dan peralatan terhad, Beiah memperolehi pendapatan purata RM800 sebulan bagi menyara anak-anaknya.
"Nasib saya mula berubah apabila secara kebetulan terserempak dengan seorang pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang sedang melawat rumah jiran bagi menghulurkan bantuan pada tahun 2014.
"Beliau memberitahu MAIDAM mempunyai skim bantuan modal berdikari yang disasarkan kepada usahawan asnaf seperti saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubur Timah, Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.
Ujar Beiah, MAIDAM tidak menunggu lama untuk meluluskan tidak lama selepas dia menghantar borang permohonannya.
Menurut beliau, bantuan modal berdikari terawal itu berupa peralatan membuat kek termasuk ketuhar bernilai keseluruhan RM3,000.
"Bantuan tidak berhenti begitu sahaja, MAIDAM kemudiannya telah membantu saya membina bengkel perusahaan kek dan kuih-muih dengan kos pembinaan RM6,000 pada tahun 2015.
"Seiring dengan pembesaran operasi, peralatan-peralatan membuat kek dan kuih-muih juga ditambah termasuk sebuah lagi ketuhar dengan bantuan penuh MAIDAM pada tahun lalu," katanya.
Beiah berkata, kebajikan tujuh anak-anaknya juga tidak diabaikan dengan kesemua mereka turut menerima bantuan persekolahan daripada MAIDAM.
Menurutnya, kehidupannya sekeluarga banyak berubah semenjak menjadi penerima bantuan berdikari tersebut yang berjumlah keseluruhan lebih RM13,000 daripada majlis agama negeri terbabit.
"Saya bersyukur perusahaan kek dan kuih-muih saya telah berkembang pesat berikutan bantuan MAIDAM.
"Dalam tempoh tidak sampai tiga tahun, kami sekeluarga bukan sahaja berjaya keluar daripada garisan kemiskinan malah pendapatan purata bulanan saya kini melonjak kepada RM2,500," katanya.
Beiah yang mempunyai tujuh anak dalam lingkungan lapan hingga 18 tahun berkata, bantuan peralatan dan ruang operasi peniagaan tersebut. membolehkan dia menerima lebih banyak tempahan daripada pelanggan.
Dia yang dibantu anak-anaknya terutama Nurul Fatin Faridatul Zamri, 15, dan Nurul Fatira Natasya, 14, berkata, perusahaannya kini tidak terhad kepada roti paung dan kek semata-mata tetapi turut menerima tempatahan kuih-muih seperti samosa, karipap, puff krim dan pau mengikut permintaan pelanggan.
"Pada musim Hari Raya Aidilfitri ini, saya juga menerima tempatan kuih raya pelbagai jenis seperti tart nenas, almond london, semperit, makmur dan suji.
"Alhamdulillah, rezeki saya semakin murah dan perniagaan semakin berkembang. Budi baik dan bantuan pegawai MAIDAM takkan saya lupakan sepanjang hayat," katanya yang kini bertemu semula jodoh dengan suami baru, Abdul Zaman Ismail, 56, kira-kira tiga bulan lalu.
No comments:
Post a Comment