Translate

Wednesday, July 5, 2017

Sinar bahagia pesakit lumpuh

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Tiada yang lebih menggembirakan pada Aidilfitri ini buat seorang lelaki yang menderita penyakit lumpuh separuh badan apabila me­nerima bantuan katil perubatan boleh laras dan kerusi roda daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) baru-baru ini.

Kerungsingan Tuan Mohd. Tuan Sidek, 50, yang menghidap penyakit gangguan saraf tunjang terhadap masa depan keluarganya sedikit reda apabila Perkeso juga meluluskan pencen ilat kepadanya sebanyak RM1,343 sebulan.

Isterinya, Ruhana Embong, 52, pula layak menerima elaun layanan sentiasa berjumlah RM500 sebulan. Jumlah keseluruhan pencen dan elaun itu ialah RM1,843 sebulan.

Ruhana berkata, penyakit saraf tunjang yang dideritai suaminya sejak 10 tahun lalu semakin teruk sehingga menyebabkan bekas pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Durian Guling di sini itu tiba-tiba mengalami kelumpuhan pada anggota kanan badan dan kehilangan suara pada April lalu.

“Suami terpaksa berhenti kerja dan saya pula tidak dapat fokus sebagai tenaga pengajar sebuah sekolah memandu di Kuala Terengganu kerana perlu selalu menghantarkan ke hospital selain menjaganya setiap masa.

“Kami risau tentang masa depan anak-anak lelaki kami yang baru berusia tiga dan enam tahun apatah lagi waktu dugaan itu berlaku Ramadan hampir menjelma. Persiapan raya kami sekeluarga juga dibuat secara ala kadar sahaja,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Perumahan Awam Kos Rendah Cherang Guling di sini baru-baru ini.

Selain peralatan perubatan, Tuan Mohd. sekeluarga juga turut menerima bantuan keperluan asas dan wang zakat sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang disampaikan Pengarah Perkeso Terengganu, Nora Yaacob.

Tambah membuat keluarga tersebut bersyukur, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, A. Latiff Awang turut bersetuju untuk membantu membiayai kos ubah suai bilik tidur demi keselesaan Tuan Mohd.

A. Latiff yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri berkata, kerja-kerja pengubahsuaian termasuk membina bilik air dan tandas bernilai RM10,000 itu bakal bermula secepat mungkin.

No comments:

Post a Comment