Translate

Thursday, July 6, 2017

Batu Pahat lokasi tinggi nahas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengenalpasti 231 lokasi panas yang sering berlaku kemalangan di seluruh negara sempena musim perayaan ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, negeri paling banyak lokasi panas di negara ini ialah Johor dengan 36 lokasi.

"Berdasarkan kajian JKJR (Jabatan Keselamatan Jalan Raya) juga, daerah Batu Pahat di Johor merupakan lokasi yang paling kerap berlaku kemalangan di negara ini,"  katanya selepas menghadiri pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Op. Selamat 11 di Plaza Tol Ajil di sini kelmarin.

Katanya, bagi mengurangkan nahas terutamanya di lokasi panas, JPJ membuat
ketetapan bahawa pengguna yang didapati melakukan enam kesalahan utama jalan raya akan terus dihadapkan ke mahkamah tanpa pengeluaran sebarang kompaun trafik sepanjang Ops. Hari Raya  (Op. Selamat 11).

Wan Ahmad Uzir berkata, enam kesalahan tersebut ialah memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, menggunakan lorong kecemasan dan memotong di garisan berkembar.

Dalam pada itu, sebanyak 21 kamera Sistem Kesedaran Automatik (Awas) juga telah dipasang di seluruh negara termasuk tujuh terbaharu meliputi dua di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) iaitu KM256.1 arah Kuantan dan KM288.6 arah Kuala Terengganu.

"Sejak penguatkuasaannya pada 15 April lalu, sebanyak 8,2054 kompaun berjumlah RM976,200 melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat telah direkodkan kamera Awas," katanya.

Turut hadir pada program yang disempurnakan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Terengganu, Roslee Daud tersebut ialah Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.

No comments:

Post a Comment