Translate

Monday, July 24, 2017

Rumah baru sempena Aidilfitri

AIDILFITRI kali ini amat makna kesyukuran yang amat besar buat keluarga Abdul Roni Ismail, 44, apabila dapat beraya di rumah sendiri.

Rumah yang mempunyai tiga bilik berkenaan merupakan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) kepada keluarga tersebut yang tergolong dalam kategori asnaf miskin.

Abdul Roni berkata, sebelum ini, dia dan isteri, Yusliza Jusoh, 39, serta enam anaknya yang berusia dalam lingkungan tiga hingga 18 tahun menumpang teduh di rumah ibu mertua di Kampung Kuala Tepoh, Kuala Nerus, Terengganu sejak hampir 20 tahun lalu.

"Saya bekerja sebagai tukang cat dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan manakala isteri pula merupakan suri rumahtangga.

"Salah seorang daripada enam anak kami merupakan golongan Orang Kelainan Upaya kategori lembam manakala saya pula menghidap penyakit kencing manis," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Abdul Roni berkata, disebabkan pendapatan tidak seberapa dan niat untuk menjaga orang tua, mereka sekeluarga menetap di rumah ibu mertua tersebut sejak mendirikan rumah tangga hampir 20 tahun lalu.

Menurutnya, kematian ibu mertuanya baru-baru ini telah mendorong dia berusaha untuk memiliki rumah sendiri demi keselesaan keluarganya.

"Rumah pusaka peninggalan mertua bukan sahaja sedikit uzur malah mempunyai ramai waris.

"Saya rasa sudah masanya berusaha mencari jalan untuk memiliki rumah sendiri dan mencuba memohon bantuan dengan MAIDAM," ujarnya.

Abdul Roni berkata, dia tidak menyangka permohonan yang di buat pejabat MAIDAM di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu pada April tahun lalu telah diluluskan segera.
Dia berkata, dia dibenarkan untuk membina rumah baru itu di tapak tanah milik keluarganya di Kampung Padang Hangus, Kuala Nerus, Terengganu atas ehsan ibu dan dua saudara terdekatnya yang telah memberi persetujuan secara surat akuan bersumpah.

"Allahamdulillah MAIDAM meluluskan bantuan berjumlah RM58,000 bagi pembinaan rumah tersebut termasuk untuk kerja-kerja menambun tanah.

"Kerja-kerja penambunan tanah dan pembinaan ceracak rumah telah bermula pada bulan September tahun lalu," katanya.

Abdul Roni memberitahu, kerja-kerja pembinaan rumah berjalan lancar dan ia siap sepenuhnya termasuk penyambungan bekalan elektrik dan air pada akhir bulan Mei lalu.

Dia berkata, mereka sekeluarga kemudiannya berpindah masuk ke rumah tersebut sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

"Syukur, impian saya memiliki rumah sendiri untuk keselesaan anak-anak tercapai dengan bantuan ikhlas daripada MAIDAM.

"Ia hadiah paling berharga buat saya sekeluarga apatah lagi kebetulan kami dapat memasuki rumah itu pada bulan Syawal yang mulia ini," katanya.

Abdul Roni berkata, selain pembinaan rumah baru secara percuma tersebut, mereka sekeluarga turut menerima bantuan sara hiudp berjumlah RM3,000 daripada MAIDAM.

Menurutnya, rumah baru itu juga bagaikan sinar harapan buat dia untuk mengubah nasib keluarga.

No comments:

Post a Comment