Translate

Sunday, July 2, 2017

Gemerlapan cahaya sambut kepulangan perantau

HULU TERENGGANU - Suasana di sekitar mukim Kuala Berang di sini merah dengan diterangi ribuan pelita raya dan lampu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut esok.

Kesemua 30 kampung, 12 taman perumahan dan 11 pejabat kerajaan di mukim berkenaan menghiasi kawasan masing-masing dengan pelbagai dekorasi diperbuat daripada pelita dan lampu bagi menyertai pertandingan Bergemerlipan Orang Kuala Berang (OKB).

Antara kampung terlibat ialah Kampung Kuala Akob, Kampung Binjai Kertas, Kampung Getang, Kampung Chepoh, Kampung Sungai Ular dan Kampung Nasi Dingin.

Pelbagai dekorasi seperti masjid, pintu gerbang, bunga raya, helikopter, pondok, Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar Kuala Lumpur dan pondok yang dihias secara kreatif dengan pelita dan lampu dapat dilihat di setiap perkampungan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, pertandingan Bergemerlipan OKB diadakan bagi menceriakan semua kampung, taman perumahan dan pejabat kerajaan di mukim berkenaan dengan pencahayaan lampu dan pelita raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Ia juga sebagai simbolik menyambut kira-kira 4,000 perantau yang dijangka pulang ke Kuala Berang untuk berhari raya," katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

No comments:

Post a Comment