Translate

Monday, July 10, 2017

Skuad Penyu puas curi satu mata

SKUAD Terengganu berpuas hati misi untuk me­ngutip sekurang-kurangnya satu mata pada aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Piala Malaysia kelmarin tercapai.


Pada perlawanan yang diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu tersebut, kedua-dua pasukan yang berada di dalam kumpulan D itu terikat tanpa jaringan.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, anak buahnya telah menunjukkan karakter sebenar seperti dituntutnya sehingga mampu mengasak JDT yang merupakan pasukan gergasi tanah air sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

“Walaupun JDT merehatkan kesemua tonggak importnya malam ini (kelmarin), ia sebenarnya bukan laluan mudah buat kami yang beraksi dalam saingan Liga Premier.

“Apatah lagi pemain-pemain tempatan yang diturunkan lawan itu merupakan barisan bintang dan rata-ratanya adalah pemain kebangsaan,” katanya.

Irfan berkata, kejayaan mengutip dua mata selepas mengikat Selangor dan JDT pada aksi awal peringkat kumpulan telah meletakkan skuad Penyu di landasan betul untuk melangkah sekurang-kurangnya ke suku akhir kempen Piala Malaysia pada tahun ini.

Bekas pengendali Felda United itu berkata, skuad Penyu juga sepatutnya boleh memenangi pertemuan dengan JDT tersebut sekiranya beberapa percubaan berbahaya dapat disempurnakan pemain import mereka, Tchet­che Kipre.

“Sama seperti penyokong tegar Terengganu, saya juga ternanti-nanti Tchetche (Kipre) memecah kebuntuan meledak gol sulungnya bersama skuad kami.

“Begitupun saya tidak menyalahkannya. Bukan dia tidak berusaha, namun nasib masih belum menyebelahinya,” katanya.

Sepanjang aksi tersebut, Kipre mempunyai sekurang-kurangnya lima peluang keemasan untuk merobek gawang JDT termasuk tandukan tajam yang berjaya ditepis penjaga gol lawan, Muhammad Haziq Nadzli pada masa kecederaan.

No comments:

Post a Comment