KUALA TERENGGANU - Pasukan berstatus kelab, T-Team mengalami mimpi ngeri apabila dibelasah juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-6 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.
Penyerang import, Gabriel Miguel Guerra memulakan pesta gol JDT selepas memanfaatkan hantaran Mohammad Ghaddar pada minit ke-23.
Ghaddar yang merupakan penyerang kelahiran Lebanon pula menambah gol kedua pelawat menerusi rembatan deras pada minit ke-39.
Penjaga gol T-Team, Mohd. Hafidz Romly tewas buat kali ketiga selepas terperdaya dengan tendangan lencong pemain tengah pelawat, S. Kunanlan pada minit ke-43.
Guerra terus menambah luka tuan rumah selepas meledak gol kedua peribadi dan keempat buat Harimau Selatan pada minit ke-58.
Gawang T-Team terus bocor buat kali kelima menerusi tandukan pemain pertahanan, Mohamad Fadli Mohd. Shas pada minit ke-76.
Pemain tengah import, Gonzalo Gabriel Cabrera pula melengkapkan pesta JDT apabila meledak gol keenam pada minit ke-80.
Tuan rumah yang terpaksa bermain bertahan sepanjang 90 minit perlawanan akhirnya memperolehi gol saguhati menerusi penalti yang disempurnakan penyerang import, Joseph Yannick pada minit ke-83. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment