Translate

Tuesday, July 4, 2017

Hidupkan semula R&R Perasing

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Kerajaan negeri komited membantu peniaga makanan dan minuman di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing di sini dengan memasang lebih 20,000 pelita raya bagi menarik perhatian pengguna lebuhraya singgah di situ.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu), Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, pelbagai bentuk dan corak dihasilkan menggunakan pelita seperti basikal, penyu, rama-rama, meriam, wau, bulan sabit dan pintu gerbang.

Katanya, pemasangan pelita raya tersebut diselenggara sepenuhnya oleh komuniti Kampung Tengah, Kuala Kemaman di sini.

“Pemasangan pelita raya di R&R Perasing ini bermula dari hujung Ramadan hingga hari keenam Syawal. Penduduk Kampung Tengah akan mengisi minyak tanah dan menyalakan sumbunya sepanjang tempoh itu dengan kos pembelian minyak tanah disumbang penaja terdiri daripada pihak swasta.

“Kami menggalakkan pengunjung untuk berswafoto berlatar belakangkan dekorasi pelita raya itu dan mereka yang memuat naik foto berkenaan di media sosial masing-masing berpeluang untuk memenangi hadiah cederahati daripada Tourism Terengganu,” katanya.

Tun Ahmad Faisal berkata, pemasangan pelita raya itu bukan sahaja untuk memeriahkan suasana malah ia merupakan salah satu strategi Tourism Terengganu untuk mempromosikan R&R ini sebagai salah satu lokasi persinggahan pengguna Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).

Menurut beliau, sebelum ini, Tourism Terengganu juga mengambil inisiatif mengagih-agihkan bungkusan berbuka puasa dan lemang Kijal kepada pengguna LPT2 yang singgah di R&R Perasing sepanjang bulan Ramadan ini.

Kosmo! 30 Januari lalu melaporkan peniaga R&R Perasing hampir gulung tikar akibat kehilangan pelanggan gara-gara penyebaran khabar angin di media sosial kononnya lokasi itu berhantu.

Sejak khabar angin itu disebarkan secara meluas pada November tahun lalu, kawasan terbabit lengang hampir setiap hari tanpa pelanggan sehingga mendorong kerajaan negeri Terengganu untuk membantu.

No comments:

Post a Comment