Translate

Tuesday, July 11, 2017

Terengganu benam ATM 2-0

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Skuad Terengganu mencapai misi mengutip tiga mata selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.

Kapten pasukan, Lazaro Alves menjaring gol pertama tuan rumah selepas tandukannya menerjah penjuru kanan gawang ATM pada minit ke-38.

Pemain tengah import, Gabriel Davis Dos Santos pula meledak gol kedua menerusi sepakan percuma yang diambil berhampiran kotak penalti ATM  pada minit terakhir perlawanan.

Terdahulu, skuad Penyu yang menguasai sebahagian besar perlawanan melancarkan tujuh percubaan berbahaya yang mengancam pintu gol awam sepanjang separuh masa pertama.

Pintu gol ATM hampir bocor pada minit kesembilan namun tiang gol menjadi penghalang tendangan padu penyerang import tuan rumah, Issey Farran Nakajima manakala tandukan susulan Adib Aizuddin Abd. Latif pula melepasi palang.

Aksi malam ini juga diwarnai beberapa keputusan kontroversi pengadil perlawanan, Ahmad Fareez Mat Suburi.

Bermula dengan tersilap membenarkan ATM melakukan lontaran bola ke dalam walaupun penjaga garisan menunjukkan sebaliknya pada minit ke-40, beliau kemudiannya seakan hilang fokus hingga gagal mengawal perlawanan.

Ahmad Fareez menjadikan suhu perlawanan semakin panas apabila melayangkan empat kad kuning kepada pemain kedua-dua pasukan dalam tempoh dua minit masa kecederaan babak pertama.

No comments:

Post a Comment