Translate

Wednesday, July 5, 2017

Malam tujuh likur Kuala Berang meriah dengan hiasan lampu dan pelita raya

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Suasana malam tujuh likur mukim Kuala Berang di sini meriah dengan diterangi ratusan ribu pelita raya dan lampu raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka pada lusa.
Kesemua 30 kampung, 12 taman perumahan dan 11 pejabat kerajaan di mukim berkenaan menghiasi kawasan masing-masing dengan pelbagai dekorasi diperbuat daripada pelita dan lampu bagi menyertai pertandingan Bergemerlipan Orang Kuala Berang (OKB).
Antara kampung terlibat ialah Kampung Kuala Akob, Kampung Binjai Kertas, Kampung Getang, Kampung Chepoh, Kampung Sungai Ular dan Kampung Nasi Dingin.
Pelbagai dekorasi seperti masjid, pintu gerbang, bunga raya, helikopter, pondok, Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar Kuala Lumpur dan pondok yang dihias secara kreatif dengan pelita dan lampu dapat dilihat di setiap perkampungan tersebut.
Selain itu, sebahagian kampung didapati cuba menimbulkan nostalgia dengan menampilkan tampung iaitu himpunan tempurung kelapa yang dibakar sebagai pelita raya yang pernah popular di daerah ini pada zaman dahulu.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, pertandingan Bergemerlipan OKB
yang julung kali diadakan itu bertujuan untuk menceriakan semua kampung, taman perumahan dan pejabat kerajaan di mukim berkenaan dengan pencahayaan lampu dan pelita raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
"Kita mahu menghidupkan semula budaya memasang pelita pada malam tujuh likur yang secara tidak langsung bertujuan memupuk muafakat dalam kalangan penduduk di mukim ini.
"Ia juga secara tidak langsung sebagai simbolik menyambut kira-kira 4,000 perantau yang dijangka pulang ke Kuala Berang untuk berhari raya," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses penghakiman di Kampung Getang, Kuala Berang di sini malam tadi.
Tengku Putera yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Terengganu berkata, sebanyak tiga kategori iaitu kampung, taman perumahan dan pejabat kerajaan telah dipertandingkan yang menawarkan ganjaran wang tunai keseluruhan berjumlah RM38,500.
Menurut beliau, antara kriteria permarkahan ialah tema, kreativiti, keceriaan, pencahayaan dan penglibatan penduduk. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment