Translate

Sunday, July 30, 2017

JPN cadang memendekkan tempoh sah laku resit kad pengenalan sementara

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bercadang untuk memendekkan tempoh sah laku resit kad pengenalan sementara sebagai salah satu inisiatif untuk mengurangkan kes Mykad yang tidak dituntut.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN, Datuk Mohd. Zahari Hasan berkata, setakat ini, hampir 160,000 Mykad yang sudah siap termasuk melebihi tempoh simpanan dua tahun masih belum dituntut di pejabat-pejabat agensi itu di seluruh negara.
Beliau berkata, tempoh sah laku resit kad pengenalan sementara selama tiga bulan tidak ditolak sebagai antara punca yang menyebabkan segelintir pemohon terlupa untuk menuntut Mykad masing-masing.
"Tempoh tiga bulan terlalu lama dan pemohon yang jarang menggunakan Mykad dalam urusan seharian mereka mungkin boleh terlupa untuk menuntut dokumen pengenalan diri yang sudah siap di pejabat JPN.
"Oleh itu, kita bercadang untuk memendekkan tempoh sah laku resit itu kepada sebulan sahaja selepas ini," katanya selepas merasmikan Hab Percetakan Mykad JPN Terengganu di UTC Terengganu di sini hari ini.
Individu yang memohon dokumen pengenalan diri baharu atau penggantian akan menerima resit kad pengenalan sementara dan boleh digunakan untuk urusan seharian termasuk berurusan dengan agensi kerajaan sehinggalah Mykad dituntut atau tiga bulan dari tarikh ia dikeluarkan. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment