Translate

Saturday, July 8, 2017

PKNP lakar kemenangan sulung Piala Malaysia

PASUKAN berstatus kelab, PKNP FC memperoleh langkah kanan dalam kemunculan sulung mereka pada kempen Piala Malaysia apabila melakar kemenangan 2-1 dengan mengatasi kelab daripada Liga Super, T-Team pada aksi pertama Kumpulan A di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim berkata, beliau bangga dengan pencapaian awal tersebut memandangkan skuad kendaliannya merupakan pendatang baharu dalam Liga Malaysia.

“Sebanyak 90 peratus daripada pemain-pemain saya terdiri daripada pemain-pemain muda yang tidak pernah merasai pengalaman beraksi dalam kempen Piala Malaysia sebelum ini.

“Sebenarnya kami cuma sasar satu mata pada perlawanan ini, namun menang dan pulang dengan tiga mata penuh umpama bonus hari raya kepada kami,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Abu Bakar yang pernah menjulang Piala Malaysia bersama Perak sebanyak dua kali pada tahun 1998 dan 2000 berkata, anak-anak buahnya yang berdisiplin serta mengikut taktikal diterapkannya sepanjang perlawanan itu merupakan kunci kejayaan mereka menewaskan pasukan tuan rumah.

“T-Team merupakan pasukan yang kuat. Selain mengawal ketat penyerang import mereka (Mahamadou Samassa dan Joseph Yannick), saya juga arahkan pemain-pemain saya agar sabar dalam bertahan.

“Pada masa sama, jangan sia-siakan peluang untuk melakukan serangan balas dan ia terbukti berjaya menghasilkan dua gol penting buat kami pada aksi ini,” katanya.

Abu Bakar juga memuji aksi kap­ten pasukannya, Muhammad Shahrel Fikri Md. Daud, 23, yang meledak kedua-dua gol buat PKNP pada minit ke-22 dan ke-51.

Menurut beliau, Muhammad Shahrel Fikri yang dididiknya bermula pada peringkat Piala Presiden pada tahun 2011 kini sudah semakin menunjukkan kematangan dalam permainan dan kepimpinan.

“Kemenangan sulung ini turut membakar semangat kami untuk berusaha melepasi peringkat kumpulan dan sekurang-kurangnya mara ke suku akhir. Kami juga sudah bersedia untuk menghadapi satu lagi pasukan handalan, Pahang pada aksi kedua Piala Malaysia,” katanya.

No comments:

Post a Comment