Translate

Friday, July 28, 2017

Kipre selamatkan maruah Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PENYERANG import, Tcheche Kipre semakin menyengat apabila meledak dua gol pen­ting bagi membolehkan Terengganu mengikat Negeri Sembilan 2-2 pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Tindakan penyudah pe­main kelahiran Ivory Coast itu bukan sahaja membolehkan Terengganu melakukan kebangkitan menakjubkan selepas ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama, malah berjaya meraih satu mata berharga bagi memboleh­kan skuad Penyu kekal berada di kedudukan kedua liga.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, Kipre sentiasa meletakkan namanya sebagai penjaring dalam setiap perlawanan Liga Premier sejak dia menghasilkan jaringan sulung pada aksi menentang Perlis, 14 Julai lalu.

“Sebelum ini, dia (Kipre) sentiasa juga memberi sumbangan ber­makna sejak menyertai kami pada bulan lalu.

“Biarpun tidak menjaringkan gol, dia kerap mengucar-ngacirkan kubu pasukan lawan,” kata Irfan ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Pada aksi yang tertangguh selama 40 minit aki­bat hujan lebat itu, Negeri Sembilan bermula garang apabila mendahului dua gol pada separuh masa pertama menerusi jaringan penyerang import, Jonathan Bele.

Begitupun, Kipre kemudian menyelamatkan maruah pasukan tuan rumah apabila meledak dua gol penyamaan ma­sing-masing pada minit ke-47 dan ke-90.

Mengulas aksi ma­lam kelmarin, Irfan berkata, beliau tetap berpuas hati biarpun skuad kendaliannya sekadar mampu me­ngutip satu mata.

“Sekurang-kurangnya kami masih mempertahankan kedudukan di tempat kedua liga, berkongsi 38 mata de­ngan Kuala Lumpur (pendahulu liga) dan tetap berada dalam per­saingan untuk me­rebut slot ke Liga Super musim depan.

“Anak-anak buah saya terlalu memberi ruang kepada trio import Ne­geri Sembilan iaitu Lee Tuck, Bruno Suzuki dan Nemanja Vidic me­nguasai bahagian tengah pada babak pertama sehingga dibolosi dua gol.

“Kami telah memperbetulkan kesilapan itu pada babak kedua sehingga mampu melakukan kebangkitan,” katanya.

No comments:

Post a Comment