Translate

Monday, July 17, 2017

Terengganu enggan berasa selesa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD Terengganu tidak mahu terlalu selesa biarpun berada di landasan tepat untuk kembali ke Liga Super musim depan selepas membelasah Perlis 4-0 pada aksi Liga Premier kelmarin.

Kemenangan besar itu membolehkan skuad Penyu melonjak ke tangga kedua liga dengan kutipan 34 mata dan hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Kuala Lumpur.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, wa­laupun gembira dengan kemenangan terbesar yang pernah dilakar pasukannya pada musim ini, beliau tidak mahu para pemain cepat berpuas hati kerana perjalanan Liga Premier masih panjang.
“Kita masih ada baki enam perlawanan dengan kebanyakannya aksi tersebut di gelanggang lawan termasuk pertemuan penting menentang pendahulu liga, Kuala Lumpur Jumaat depan.

“Para pemain jangan cepat berpuas hati dan perlu mengekalkan momentum kemenangan bagi mencapai sasaran utama iaitu dinaikkan pangkat ke Liga Super pada musim depan,” katanya.

Perlis yang menduduki tangga ke-10 Liga Premier ternyata bukan pencabar Terengganu yang mudah me­nundukkan pasukan dari Utara itu 4-0 menerusi jaringan Gabriel Davis Dos Santos pada minit ke-26, Tchetche Kipre (m-43), Lazaro Alves (m-48) dan Mohd. Ridzuan Abdunloh Pula (m-79).

Mengulas aksi tersebut, Irfan memberitahu, kegembiraannya berganda apabila menyaksikan penyerang import baharu, Kipre akhirnya berjaya meledak gol sulung pada penghujung babak pertama.

Bekas pengendali Felda United itu berkata, seorang lagi penyerang import, Issey Farran Nakajima harus diberikan penghargaan kerana melo­rongkan bola kepada Kipre bagi menghasilkan jaringan tersebut.

“Tchetche (Kipre) kemudiannya membantu Mohd. Ridzuan menghasilkan gol keempat perlawanan. Ini yang saya mahukan, setiap pemain beraksi secara bersama demi kemenangan pasukan,” katanya.
Sementara itu, Kipre ber­kata, dia lega akhir berjaya meledak gol selepas mencuba hampir berpuluh kali dalam lima perlawanan sejak menyertai Terengganu pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia bulan lalu.

“Perkara ini (sukar menjaringkan gol) mungkin terjadi kerana saya hanya berehat seminggu da­ripada musim Liga Profesio­nal Oman yang panjang sebelum menyertai Terengganu.

“Begitupun saya tidak hilang keyakinan (untuk menjaringkan gol). Apa pun yang paling penting, saya mahu membantu pasukan me­langkah ke Liga Super musim depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment