Translate

Wednesday, July 19, 2017

Wanita rompak rakan sekerja dihukum

KUALA TERENGGANU – Seorang pekerja sebuah pusat semaian pokok hiasan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas didapati bersalah atas pertuduhan rompakan dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita di Kampung Belukar Jambu di sini tiga bulan lalu.

Hakim Rofiah Mohamad turut me­ngenakan hukuman denda RM7,000 terhadap Norjahan Abdul Tajol, 35, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Beliau memerintahkan wanita terbabit menjalani hukuman penjara tambahan selama 10 bulan jika gagal membayar denda. Norjahan yang diwakili peguam bela, Muhammad Ramlan Taib dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan gagal membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd. Rahman.

Berdasarkan pertuduhan, Norjahan didakwa melakukan rompakan dan menyebabkan kecederaan secara sengaja terhadap Sarifah Ibrahim, 53, yang juga rakan sekerjanya di rumah mangsa di Kampung Belukar Jambu di antara pukul 2 dan 3 petang pada 14 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahah.

Kosmo! 15 April lalu me­laporkan Sarifah yang terkejut melihat ibunya, Rokiah A. Rahman, 84, dalam keadaan terlentang selepas pulang daripada kerja tiba-tiba di­serang suspek yang bersembunyi di belakang sebuah almari dengan menggunakan kuali pemanggang.

Serangan itu menyebabkan berlakunya pergelutan antara mereka sebelum suspek akhirnya berjaya diberkas dengan bantuan penduduk kampung yang menyedari kejadian tersebut.

No comments:

Post a Comment