Translate

Sunday, July 23, 2017

T-Team bernasib baik – Rahmad

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BIARPUN gagal menampilkan aksi terbaik, pasukan berstatus kelab, T-Team tetap lega kerana masih mampu mencuri satu mata selepas terikat seri 1-1 de­ngan Pahang pada aksi peringkat Kumpulan A kempen Piala Malaysia 2017 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan berkata, anak-anak buahnya seakan hilang tumpuan dan tidak bermain mengikut strategi yang telah ditetapkan untuk perlawanan tersebut.

“Segalanya bagaikan tidak menjadi malam ini (kelmarin). Saya tidak pasti sama ada kekalahan 1-5 kepada Felda United pada saingan Liga Super tempoh hari masih mengganggu mereka.

“Lagipun ini bukan skuad terbaik kerana beberapa pemain seperti (Joseph) Yannick kurang cergas tetapi terpaksa juga diturunkan kerana kita sudah tiada pilihan,” kata Rahmad ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Pada perlawanan tersebut, gawang pasukan T-Team bocor dalam tempoh 51 saat menerusi rembatan padu penyerang utama Pahang, Sumareh Mohamadou.

Begitupun, pasukan yang dikenali sebagai The Titans itu berjaya bangkit untuk menja­ringkan gol penyamaan menerusi pemain te­ngah, Mohd. Nor Hakim Hassan pada minit keenam.

Rahmad berkata, biarpun tidak cergas seratus peratus, Yannick dilihat berusaha sedaya upaya untuk mengucar-ngacirkan benteng pertahanan Pahang sepanjang perlawanan tersebut.

Pengendali berpe­ngalaman dari Indonesia itu memberitahu, penyerang kelahiran Cameroon tersebut kurang mendapat bantuan daripada rakan-rakan sepasukan sehingga menyebabkan usahanya untuk membocorkan gawang pasukan lawan tidak kesampaian.

“Apa pun, perjuangan perlu diteruskan, sekecil mana pun peluang yang tinggal, ia harus dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mencapai misi melepasi peringkat kumpulan,” katanya.

No comments:

Post a Comment