Oleh MOHD. AZLI ADLAN
MARANG – Seorang pekerja pasar borong maut selepas kereta Proton Saga yang dipandunya terbabas lalu terjunam di dalam gaung di Kampung Bukit Khor di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 7.40 pagi itu, Mohd. Zulfalah Mat Yusof, 33, yang berasal dari Felda Jerangau Barat, Ajil, Hulu Terengganu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan lain.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Zulfalah dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Pasar Borong Gong Pauh, Kuala Terengganu selepas menghantar barang di Pasar Marang di sini.
“Sewaktu melalui lokasi kejadian, kereta Proton Saga yang dipandu mangsa secara bersendirian tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan.
“Kereta tersebut kemudian terjunam ke dalam gaung yang sedalam kira-kira tujuh meter,” kata beliau di sini semalam.
Menurut beliau, anggota bomba yang tiba tidak lama kemudian mengambil masa hampir 15 minit untuk mengeluarkan mayat Mohd. Zulfalah yang tersepit di dalam kereta Proton Saga yang terjatuh di dalam gaung yang agak curam berkenaan.
Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk dibedah siasat.
No comments:
Post a Comment